Kastam kutip cukai RM42b sepanjang 2019, meningkat RM1b berbanding 2018

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya memungut cukai tidak langsung negara berjumlah RM42 bilion sepanjang tahun 2019.

Ia menyaksikan peningkatan RM546 juta berbanding tahun 2018, dengan hasil pungutan RM41.454 bilion.

Jelas Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri), Datuk Ahmad Maher Abd Jalil, pihaknya berjaya melepasi sasaran sebanyak RM41 bilion.

Ahmad Maher berkata, kesemua hasil cukai akan disalurkan kepada kerajaan untuk pembangunan negara. – Gambar fail

“Jika sebelum ini kita ada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), namun kini kita kembali ke Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan skopnya semakin kecil.

“Walaubagaimanapun, kita berjaya melepasi sasaran dan ini merupakan peningkatan agak tinggi,” kata Datuk Ahmad Maher ketika ditemubal dalam program Awani Pagi pada Rabu.

Sebagai sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Kewangan, Jabatan Kastam bertanggungjawab untuk menguruskan pelaksanaan pentadbiran cukai tidak langsung negara.

Jelasnya peranan utama Jabatan Kastam adalah memungut hasil negara yang mana jabatan berkenaan merupakan penyumbang kedua terbesar selain Lembaga Hasil Dalan Negeri (LHDN).

“Pelbagai cukai yang Jabatan Kastam pungut, seperti cukai import, eksport, keuntungan luar biasa, jualan dan perkhidmatan,” katanya.

Kesemua hasil cukai ini akan disalurkan kepada kerajaan untuk pembangunan negara.

Sumber Ihsan: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kastam-kutip-cukai-rm42b-sepanjang-2019-meningkat-rm1b-berbanding-2018-226912

MAJLIS PALUAN BERUNDUR SEMPENA PERSARAAN KETUA PENGARAH KASTAM MALAYSIA

Majlis Paluan Berundur Ketua Pengarah Kastam Malaysia diiringi Pasukan Istiadat JKDM

PUTRAJAYA, 8 Mac 2019 – Sayu dan pilu kedengaran gendang perang dipalu tatkala seorang ‘Panglima Perang’ tentera ekonomi negara berundur bukan kerana tewas di medan perang, akan tetapi kerana telah berakhirnya suatu perjalanan kerjaya sebagai seorang Ketua Pengarah Kastam Malaysia dan penjawat awam negara walaupun nadi perjuangan serta peperangan masih berdenyut kencang. Itulah yang dapat digambarkan dalam Majlis Paluan Berundur Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Dato’ Sri Subromaniam Tholasy yang sangat dicintai oleh semua warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia.  

Majlis yang diserikan dengan kehadiran Menteri Kewangan Malaysia dimulakan dengan persembahan montaj biografi imbauan kenangan Dato’ Sri Subromaniam Tholasy sebelum dan sepanjang perkhidmatan beliau di dalam jabatan. Turut hadir sama dalam majlis adalah Dato’ Paddy Bin Abd Halim, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman / Cukai Dalam Negeri) serta isteri, Dato’ Azimah Binti Abd. Hamid, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan / Pematuhan), Dato’ Dr. Zulkefli Bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan) serta isteri, Penolong-Penolong Ketua Pengarah Kastam, Pengarah-Pengarah Kastam serta warga jabatan keseluruhannya.  

Antara amanat yang disampaikan dalam ucapan paluan berundur oleh Dato’ Sri Subromaniam Tholasy adalah warga jabatan perlu menyayangi jabatan ini seperti mana beliau menyayanginya dengan sepenuh hati dan jagalah jabatan ini dengan penuh integriti. Beliau yang turut diiringi isteri tercinta, kelihatan bergenang air mata ibarat perpisahan antara ibu dan ayah dengan anak-anak yang sangat dikasihi.  

Majlis Paluan Berundur telah disempurnakan dengan penuh adat istiadat kawalan kehormatan serta tradisi jabatan diiringi oleh pasukan pancaragam Polis Diraja Malaysia. Perasaan penuh sayu dan pilu mengiringi perarakan keluar Ketua Pengarah Kastam Malaysia serta isteri ke kenderaan rasmi. Tabik hormat terakhir diberikan oleh pasukan istiadat serta seluruh warga jabatan menandakan berakhirnya perkhidmatan beliau secara rasmi. Semoga Dato’ Sri Subromaniam Tholasy dan isteri serta keluarga tercinta sentiasa berada dalam kesejahteraan berpanjangan. Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan beliau akan sentiasa dikenang sepanjang zaman oleh seluruh warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan semoga perjuangan beliau akan mendapat kesinambungan di masa hadapan. Ayuh wargaku! Teruskan perjuangan!