Monthly Archives: October 2017

MAJLIS MALAM JASAMU DIKENANG

SHAH ALAM, 3 Oktober 2017 – Bekas Ketua Pengarah Kastam, Dato’ Sri Khazali bin Haji Ahmad telah diraikan dalam satu Majlis Malam Jasamu Dikenang bersempena dengan Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam Se-Malaysia kali ke-82.
 
Turut diraikan pada majlis tersebut ialah Dato’ Hasnol Zam Zam bin Ahmad, bekas Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan) yang telah dinaikkan pangkat dan bertukar ke Kementerian Kesihatan Malaysia. Majlis juga meraikan Dato’ Mohd Pudzi bin Man, Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) yang bakal bersara pada 8 November 2017, Dato’ Jaafar bin Mat Jawi, Pengarah Kastam Negeri Johor yang bersara pada 3 Oktober 2017 dan Tuan Haji Mohd Yusof bin Ismail, Pengarah Cawangan Risikan yang bakal bersara pada 27 Disember 2017.
 
Ketua Pengarah Kastam, Dato’ Sri Subromaniam Tholasy dalam ucapan berkata, Dato’ Sri Khazali bin Haji Ahmad telah berjaya merealisasikan transformasi serta pembaharuan kepada jabatan. Begitu juga dengan barisan kepimpinan jabatan yang lain seperti Dato’ Hasnol Zam Zam bin Ahmad, Dato’ Mohd Pudzi bin Man, Dato’ Jaafar bin Mat Jawi dan Tuan Haji Mohd Yusof bin Ismail yang telah banyak menyumbang bakti, menabur jasa dan memerah keringat dalam memperkasakan keunggulan prestasi dan menjulang imej cemerlang jabatan. Beliau berharap agar penganjuran majlis tersebut berupaya mengembalikan nostalgia kegemilangan perkhidmatan barisan tokoh yang diraikan.
 
Pada majlis yang sama, Dato’ Sri Subromaniam Tholasy turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada anggota pasukan Customs Blue Ocean Strategy 3.0 (CBOS 3.0) bagi tahun 2017. Laporan hasil yang diperolehi begitu memberangsangkan dan beberapa aktiviti operasi sedang dilaksanakan bagi memastikan sasaran tercapai. Pada majlis tersebut para tetamu telah dihiburkan oleh persembahan kesenian dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor.