Monthly Archives: January 2018

MAJLIS SANTAPAN BERADAT JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA BERSAMA YDPA

KUALA LUMPUR, 26 Januari 2018 — Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, pada malam ini, telah mencemar duli berangkat ke Majlis Santapan Beradat anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia, di Hotel Mandarin Oriental. Majlis gilang-gemilang dan penuh bersejarah ini dianjurkan bersempena sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-36 tahun 2018 (HKS2018) yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak pada tanggal 24 Januari 2018 yang lalu.
 
Baginda tiba di dewan santapan pada jam 9.20 malam diiringi oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Dato’ Sri Subromaniam Tholasy dan isteri, Datin Sri Usha Rani Muniandy. Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Dato’ Zulkifli Bin Yahya bersama isteri, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/GST), Dato’ Paddy Bin Abd Halim bersama isteri, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Siti Zauyah Binti Md Desa, dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan), Dato’ Dr. Ahmad Jailani Bin Muhamed Yunus bersama isteri.
 
Dalam sembah ucapan oleh Dato’ Sri Subromaniam Tholasy, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih atas limpah perkenan baginda tuanku mencemar duli berangkat ke Majlis Santapan Beradat ini. Majlis yang turut dihadiri oleh lebih 700 orang warga Kastam ini selesai pada sekitar jam 11:00 malam.
 
Sekalung syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga Kastam di atas penganjuran majlis yang amat bermakna ini. Mudah-mudahan ikatan erat yang telah sekian lama terjalin di antara institusi Diraja dan Jabatan Kastam ini terus utuh buat selama-lamanya.

 

SAMBUTAN HARI KASTAM SEDUNIA KALI KE-36 TAHUN 2018

PUTRAJAYA, 24 Januari 2018 – Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-36 telah diadakan dengan jayanya bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC). Majlis penuh gilang-gemilang ini telah dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak.
 
Tema Hari Kastam Sedunia pada tahun ini ialah “Persekitaran Perniagaan Yang Selamat Untuk Pembangunan Ekonomi”, yang mana ia amat signifikan dengan ekonomi Malaysia yang sedang berkembang dalam suasana yang penuh dengan cabaran dan rintangan. Justeru, JKDM menggalas tanggungjawab dan amanah yang berat untuk memastikan fasilitasi perdagangan, pungutan hasil serta penguatkuasaan undang-undang dan peraturan dapat dilaksanakan dalam suasana persekitaran yang aman dan selamat.

 
Dalam majlis ini juga dibuat pelancaran Malaysia GST Compliance Assurance Programme (MyGCAP). Melalui inisiatif ini, bayaran pulang balik cukai akan diberikan dalam tempoh yang singkat kepada pemegang status MyGCAP dan pemegang status ini akan diluluskan pembaharuan skim khas tanpa verifikasi.
 
Selamat Hari Kastam Sedunia diucapkan kepada seluruh warga JKDM bersempena sambutan HKS ke-36 tahun 2018 yang telah berjaya dilaksanakan dengan jaya dan gilang-gemilang. Semoga JKDM terus mara bersemangat memikul tugas untuk memastikan persekitaran perniagaan yang selamat, adil dan mampan bertepatan dengan tema sambutan pada tahun ini.