Monthly Archives: March 2018

PENJENAMAAN SEMULA MUZIUM KASTAM

MELAKA, 26 Mac 2018 – Muzium Kastam yang terletak di Jalan Merdeka, Banda Hilir, di sini telah dijenamakan semula sebagai Muzium Kastam Tan Sri Dr. Ali Hamsa. Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Dato’ Sri Subromaniam Tholasy berkata, penjenamaan semula itu adalah untuk menghargai jasa-jasa Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dalam memperkasakan perkhidmatan awam, khususnya JKDM.
 
Sehubungan itu, nama Tan Sri Dr. Ali Hamsa digunakan kerana sinonim dengan negeri Melaka terutamanya di Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Bendahara Sri Nara Diraja Tun Ali adalah merupakan Bendahara atau Perdana Menteri keempat di Zaman Pemerintahan Sultan Muzaffar Shah.
“Saya dan seluruh warga Kastam berharap agar Muzium Kastam Tan Sri Dr. Ali Hamsa ini akan menjadi sebuah lagi daya tarikan unggul kepada pengunjung, sesuai dengan kedudukannya di tepi Sungai Melaka yang merupakan sebuah pelabuhan termasyhur di rantau ini suatu ketika dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Muzium Kastam Tan Sri Dr. Ali Hamsa yang dirasmikan oleh Tan Sri Dr. Ali Hamsa sendiri. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Roslan Ibrahim, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Hussin dan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Khamis Abas. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan pengurusan tertinggi jabatan beserta warga Kastam.

 

MENDEPANI CABARAN DALAM PENTADBIRAN GST- NATIONAL GST CONFERENCE 2018

KUALA LUMPUR, 27 Februari 2018National GST Conference 2018 anjuran bersama oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Chartered Institute of Tax Malaysia (CTIM) telah diadakan selama dua hari bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula pada 27 Februari sehingga 28 Februari 2018.
Konvensyen ini telah dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan turut dihadiri oleh Dato’ Sri Subromaniam Tholasy, Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Cik Seah Siew Yun, Presiden CTIM dan pengurusan tertinggi JKDM yang lain.
Pada tahun ini, Future Challenges of GST Administration telah dipilih sebagai tema konvensyen kali ini. Konvensyen selama dua hari ini memberi peluang kepada peserta untuk menumpu dan membincangkan pelbagai aspek dalam regim percukaian GST termasuklah dalam isu hala tuju dalam cabaran dan pelaksanaan GST, penambahbaikan cukai, impak kepada inflasi serta meliputi isu ekonomi digital.
Selain itu, konvensyen ini juga sebagai salah satu pemangkin kepada pelaksanaan Program Malaysia GST Assurance Program (MyGCAP) yang dijangka akan bermula pada suku tahun kedua 2018 iaitu pada bulan April atau Mei tahun ini kepada syarikat-syarikat terpilih.