Monthly Archives: May 2018

MAJLIS PERSARAAN MANTAN PRESIDEN PERKASA MALAYSIA

MELAKA, 14 Mei 2018 – Jabatan Kastam Diraja Malaysia Melaka telah menganjurkan Majlis Perhimpunan Setia dan Mesra bagi  bulan April dan Mei 2018 sekaligus telah mengadakan majlis serah terima tugas Pengarah Kastam Negeri Melaka, Dato’ Mohd Noor bin Yusoff bersempena persaraan beliau. Majlis ini telah diadakan di Dewan Datuk Md Hassim, JKDM Melaka.
Dato’ Mohd Noor telah memulakan tugas pada 6 Jun 1983 dan berakhir pada hari ini. Seterusnya Majlis Paluan Berundur telah diadakan sebagai simbolik kepada majlis persaraan mantan Pengarah Kastam Negeri Melaka. Acara ini telah diadakan di perkarangan Bangunan Wisma Kastam Melaka. Sambutan perarakan telah dianggotai oleh Pasukan Istiadat dan Kawad Kaki serta diikuti dengan perbarisan oleh Pegawai-Pegawai JKDM Melaka sebagai penghormatan terakhir kepada mantan Pengarah Kastam Negeri Melaka.
Beliau merupakan Presiden Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia (PERKASA) paling lama iaitu mulai sesi 2010 hingga 2018. Sepanjang menjawat jawatan Presiden beliau telah banyak melaksanakan perubahan dan pembaharuan dalam persatuan. Banyak hasil perjuangan beliau semasa dalam PERKASA telah dapat dirasai dan dinikmati oleh pegawai-pegawai kanan kastam kini. Agenda kebajikan ahli sentiasa menjadi satu keutamaan yang terus beliau perjuangkan sehingga tarikh akhir perkhidmatan beliau sebagai Presiden PERKASA Malaysia iaitu pada tanggal 28 April 2018.
Majlis Sanjungan Budi Junjungan Kasih adalah acara kemuncak pada hari tersebut yang telah berlangsung pada sebelah malamnya bertempat di Grand Ballroom, Mudzaffar Hotel. Majlis makan malam ini telah berjalan dengan meriah dan turut diserikan dengan kehadiran ahli keluarga Dato’ Mohd Noor bin Yusoff serta  warga jabatan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh pegawai daripada JKDM Melaka. Sebagai penutup bagi majlis pada malam itu, upacara penyampaian cenderahati daripada warga jabatan telah diadakan bagi mengenang jasa dan bakti mantan Pengarah Kastam Negeri selama perkhidmatan beliau di JKDM Melaka.