Monthly Archives: June 2018

PEMANSUHAN GST: KASTAM LAKSANA TUGAS TERAS MEMBANTERAS PENYELUDUPAN

PUTRAJAYA, 5 Jun 2018 – YB Tuan Lim Guan Eng, hadir di Majlis Perhimpunan Setia dan Mesra warga Kastam bersama Menteri Kewangan Malaysia. Majlis telah diadakan di Dewan Semarak Jati, Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Ketibaan beliau disambut oleh Dato’ Sri Subromaniam Tholasy, Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Dato’ Haji Zulkifli bin Yahya, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) dan Dato’ Paddy bin Abd Halim, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/GST). Ini merupakan pertemuan pertama beliau bersama warga Kastam sejak dilantik menjadi Menteri Kewangan pada 21 Mei 2018.
Dalam ucapan beliau, YB Tuan Lim Guan Eng memuji usaha JKDM dalam melaksanakan tugas membanteras penyeludupan. Jika sebelum ini GST memainkan peranan yang penting kepada jabatan, kali ini beliau menyeru warga Kastam memandang kehadapan dan mengubah persepsi daripada sebuah jabatan yang memainkan peranan penting dalam GST kepada sebuah Jabatan yang melawan penyeludupan dan menjadi kawan kepada rakyat. Beliau turut memaklumkan akan menyemak kembali bagaimana jabatan dapat mengoptimakan hasil dan memastikan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut undang-undang dan bertimbang rasa.
Beliau menyeru seluruh warga jabatan menjalankan tugas dalam Malaysia baharu dengan semangat bertimbang rasa seperti yang telah beliau sebutkan terdahulu, “kita lawan penyeludupan, dan pada waktu yang sama kawan kepada rakyat”.
 
Pada majlis berkenaan, turut disempurnakan penyampaian watikah kepada pegawai kanan jabatan oleh YB Tuan Lim Guan Eng. Tuan Mohd Nordin bin Abdullah telah dilantik sebagai Pengarah Kastam Negeri Perak, Puan Zaida bt. Hussin telah dilantik sebagai Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Dato’ Abdullah bin Jaapar telah dilantik sebagai Pengarah Kastam Negeri Sabah, Tuan Madrim bin Tasan telah dilantik sebagai Pengarah Kastam Labuan dan Tuan Tuang a/l Aleong sebagai Pengarah Kastam Negeri Melaka.