Monthly Archives: March 2019

MAJLIS PALUAN BERUNDUR SEMPENA PERSARAAN KETUA PENGARAH KASTAM MALAYSIA

Majlis Paluan Berundur Ketua Pengarah Kastam Malaysia diiringi Pasukan Istiadat JKDM

PUTRAJAYA, 8 Mac 2019 – Sayu dan pilu kedengaran gendang perang dipalu tatkala seorang ‘Panglima Perang’ tentera ekonomi negara berundur bukan kerana tewas di medan perang, akan tetapi kerana telah berakhirnya suatu perjalanan kerjaya sebagai seorang Ketua Pengarah Kastam Malaysia dan penjawat awam negara walaupun nadi perjuangan serta peperangan masih berdenyut kencang. Itulah yang dapat digambarkan dalam Majlis Paluan Berundur Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Dato’ Sri Subromaniam Tholasy yang sangat dicintai oleh semua warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia.  

Majlis yang diserikan dengan kehadiran Menteri Kewangan Malaysia dimulakan dengan persembahan montaj biografi imbauan kenangan Dato’ Sri Subromaniam Tholasy sebelum dan sepanjang perkhidmatan beliau di dalam jabatan. Turut hadir sama dalam majlis adalah Dato’ Paddy Bin Abd Halim, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman / Cukai Dalam Negeri) serta isteri, Dato’ Azimah Binti Abd. Hamid, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan / Pematuhan), Dato’ Dr. Zulkefli Bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan) serta isteri, Penolong-Penolong Ketua Pengarah Kastam, Pengarah-Pengarah Kastam serta warga jabatan keseluruhannya.  

Antara amanat yang disampaikan dalam ucapan paluan berundur oleh Dato’ Sri Subromaniam Tholasy adalah warga jabatan perlu menyayangi jabatan ini seperti mana beliau menyayanginya dengan sepenuh hati dan jagalah jabatan ini dengan penuh integriti. Beliau yang turut diiringi isteri tercinta, kelihatan bergenang air mata ibarat perpisahan antara ibu dan ayah dengan anak-anak yang sangat dikasihi.  

Majlis Paluan Berundur telah disempurnakan dengan penuh adat istiadat kawalan kehormatan serta tradisi jabatan diiringi oleh pasukan pancaragam Polis Diraja Malaysia. Perasaan penuh sayu dan pilu mengiringi perarakan keluar Ketua Pengarah Kastam Malaysia serta isteri ke kenderaan rasmi. Tabik hormat terakhir diberikan oleh pasukan istiadat serta seluruh warga jabatan menandakan berakhirnya perkhidmatan beliau secara rasmi. Semoga Dato’ Sri Subromaniam Tholasy dan isteri serta keluarga tercinta sentiasa berada dalam kesejahteraan berpanjangan. Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan beliau akan sentiasa dikenang sepanjang zaman oleh seluruh warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan semoga perjuangan beliau akan mendapat kesinambungan di masa hadapan. Ayuh wargaku! Teruskan perjuangan!  

MENTERI KEWANGAN MALAYSIA MERASMIKAN SAMBUTAN HARI KASTAM SEDUNIA KE-37

Sekitar Majlis Perasmian Sambutan Hari Kastam Sedunia di JKDM Kelana Jaya

KELANA JAYA, 26 Januari 2019 – Menteri Kewangan Malaysia, Tuan Lim Guan Eng, telah sudi meluangkan masa untuk menghadiri dan menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-37 Tahun 2019 (HKS37). Majlis gilang-gemilang dan penuh bersejarah ini telah dilangsungkan di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), dengan menjulang tema, “Persempadanan SMART Untuk Kelancaran Perdagangan, Perjalanan dan Pengangkutan”.  

Ketibaan Tuan Lim Guan Eng sekitar jam 9.00 pagi turut diiringi oleh Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, Dato’ Ir. Amiruddin Bin Hamzah dan Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Dato’ Sri Subromaniam Tholasy. Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/CDN), Dato’ Paddy Bin Abd Halim, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Dato’ Azimah Binti Abdul Hamid, dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan), Dato’ Dr. Zulkefli Bin Ibrahim.  

Dalam ucapan perasmian, Tuan Lim Guan Eng merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia kerana telah berjaya menzahirkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2018. Beliau turut mengajak seluruh warga Kastam yang hadir untuk bersama-sama menghayati tema HKS37 dan terus teguh dalam memikul amanah yang telah direncana.

Majlis yang dihadiri oleh lebih 1000 orang warga Kastam dari seluruh negara ini turut dimeriahkan dengan perbarisan Pasukan Istiadat Jabatan dan persembahan oleh Pasukan Penguatkuasaan Penyeludupan Kastam (CCET), Pasukan Taktikal Bersenjata Kastam (COBRA) dan Pasukan Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).