PROGRAM AUDIT BERSAMA JKDM-LHDNM

PUTRAJAYA, 30 OGOS 2017 – Satu Majlis Menandatangani dan Sidang Media Standard Operating Procedure (SOP) program audit bersama di antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia telah berlangsung di Auditorium, Kementerian Kewangan Malaysia.

Majlis yang bersimbolik ini telah dimeterai oleh Yang Berbahagia Dato’ Sri Subromaniam Tholasy, Ketua Pengarah Kastam Malaysia dan Yang Berbahagia Datuk Sabin Bin Samitah, Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM yang disaksikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia.


Program audit bersama ini merupakan cetusan idea di bawah kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang digerakkan selaras dengan Pelan Transformasi Kerajaan.

Program ini telah disasarkan untuk meningkatkan pematuhan pembayar cukai kepada perundangan yang ditadbir oleh kedua-dua pihak JKDM dan LHDNM agar dapat menyumbangkan kepada peningkatan hasil negara.

Dalam pada itu, program ini juga bertujuan untuk mengelakkan lawatan serta pengauditan berulang ke premis perniagaan pembayar cukai JKDM dan LHDNM serta mengurangkan kos pematuhan bagi pihak syarikat.


Yang Berbahagia Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah juga berkata kepada pemberita semasa sidang media bahawa program ini juga merupakan satu perkongsian maklumat di antara kedua-dua agensi bagi meningkatkan lagi keberkesanan dalam aktiviti pengauditan.


Majlis ini turut menyaksikan acara Flag Off melibatkan seramai 40 orang pegawai audit JKDM dan LHDNM di perkarangan luar bangunan Kementerian Kewangan Malaysia.


Program ini telah disasarkan di sekitar Lembah Klang dan turut akan diperluaskan ke seluruh Negara. Hadir sama dalam majlis ini adalah dif-dif kehormat dari JKDM dan LHDNM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *