PENJENAMAAN SEMULA MUZIUM KASTAM

MELAKA, 26 Mac 2018 – Muzium Kastam yang terletak di Jalan Merdeka, Banda Hilir, di sini telah dijenamakan semula sebagai Muzium Kastam Tan Sri Dr. Ali Hamsa. Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Dato’ Sri Subromaniam Tholasy berkata, penjenamaan semula itu adalah untuk menghargai jasa-jasa Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dalam memperkasakan perkhidmatan awam, khususnya JKDM.
 
Sehubungan itu, nama Tan Sri Dr. Ali Hamsa digunakan kerana sinonim dengan negeri Melaka terutamanya di Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Bendahara Sri Nara Diraja Tun Ali adalah merupakan Bendahara atau Perdana Menteri keempat di Zaman Pemerintahan Sultan Muzaffar Shah.
“Saya dan seluruh warga Kastam berharap agar Muzium Kastam Tan Sri Dr. Ali Hamsa ini akan menjadi sebuah lagi daya tarikan unggul kepada pengunjung, sesuai dengan kedudukannya di tepi Sungai Melaka yang merupakan sebuah pelabuhan termasyhur di rantau ini suatu ketika dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Muzium Kastam Tan Sri Dr. Ali Hamsa yang dirasmikan oleh Tan Sri Dr. Ali Hamsa sendiri. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Roslan Ibrahim, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Hussin dan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Khamis Abas. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan pengurusan tertinggi jabatan beserta warga Kastam.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *