80,000 syarikat layak dikenakan SST, terima emel makluman minggu ini

KUALA LUMPUR: Sebanyak 70,000 hingga 80,000 perniagaan akan didaftarkan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebaik ia mula dilaksanakan berkuatkuasa 1 September ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri T Subromaniam, berkata jumlah itu adalah jauh lebih rendah berbanding sebanyak 472,000 perniagaan di bawah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Katanya, pendaftaran SST akan dilakukan secara automatik dengan memindahkan data daripada sistem perkomputeran myGST sedia ada bermula esok.

“Apa yang kita akan buat, hanya syarikat yang layak didaftarkan dengan SST, akan dipindahkan dan dimasukkan ke dalam sistem mySST bermula esok.

“Syarikat yang layak ini akan dimaklumkan secara rasmi menerusi emel bermula minggu ini untuk mereka menyemak butir-butir berkenaan.

“Bagi syarikat yang tidak didaftarkan di bawah GST sebelum ini, kemungkinan ada seperti syarikat baharu atau yang tidak tertakluk kepada GST tetapi layak dikenakan SST, mereka boleh memohon di talian kita yang akan dibuka mulai minggu depan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri seminar ‘Kelahiran Semula SST! Peralihan dari GST ke SST’ di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Datuk Abdul Aziz Abu Bakar.

Mengulas lanjut Subromaniam berkata, berikutan kekangan masa, pihaknya sudah menerima kebenaran daripada Menteri Kewangan untuk menjalankan sesi pertemuan dan penerangan mengenai SST kepada syarikat dan perniagaan lebih awal tanpa perlu menunggu Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 diluluskan terlebih dulu.

Katanya, sejak minggu lalu, pihaknya sudah menemui lebih 5,000 peniaga bagi menyampaikan penerangan mengenai cukai terbabit.

“Kita yakin dalam tempoh sebulan ini kita mampu berjumpa dan memberi penerangan kepada semua peniaga yang layak didaftarkan dengan SST,” katanya.

Ditanya berapakah jumlah barang yang akan dikenakan SST berbanding GST, Subromaniam menjelaskan, 6,400 barang tidak termasuk perkhidmatan akan dikenakan SST berbanding lebih 11,000 barang dan perkhidmatan yang dikenakan GST.

“Jumlah ini tidak jauh berbeza berbanding SST 1.0 yang sebelum ini,” katanya menambah pihaknya sudah bersedia 100 peratus untuk melaksanakan rejim cukai baharu itu.

Menyentuh mengenai penalti kepada yang ingkar membayar SST, beliau berkata hukuman terbabit sudah “ditambahbaik”.

“Dulu jika disabit kesalahan menipu cukai, boleh didenda RM50,000 dan tiga tahun penjara.

“Kini melalui undang-undang baharu, jika disabit kesalahan, paling minimum 10 kali ganda dari cukai yang dilarikan dan maksimum 20 kali ganda daripada jumlah cukai dan lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Ihsan Berita Harian: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2018/07/456214/80000-syarikat-layak-dikenakan-sst-terima-emel-makluman-minggu-ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *