Kastam jadikan GST reformasi cukai paling berjaya

ISNIN, 30 Mac 2015, ¬†Kompleks JKDM WPKL, Kelana Jaya: Datuk Seri Najib Razak meminta warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuktikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksana bermula Rabu ini sebagai ‘reformasi cukai’ paling berjaya dalam sejarah. Perdana Menteri berkata, pengenalan GST di Malaysia perlu menjadikan contoh dan ikutan kepada negara lain.

PM 2

“(Warga Jabatan) Kastam, kami bersama anda, kita akan berjalan bersama melaksanakan GST, ini akan menjadi ‘reformasi cukai’ paling besar dalam sejarah. “Jadikan (pelaksanaan) dia (GST) sebagai paling berjaya. Bila dunia jadikan ini sebagai rujukan, dia akan kata Malaysia laksanakan GST dengan jayanya,” katanya dalam ucapan sempena lawatan kerja beliau bertemu warga JKDM di Dewan Serbaguna Pejabat Kastam Wilayah Persekutuan, Kelana Jaya, di sini, pagi tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzalah; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan serta Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Khazali Ahmad. Najib berkata, JKDM kini mula memasuki fasa kritikal dan mencabar menjelang pelaksanaan GST, memandangkan penerimaan terhadap cukai itu daripada rakyat adalah berbeza-beza.

“Kita akan memasuki fasa yang amat kritikal lagi mencabar. Apa pun yang telah diperkatakan selama ini, sama ada secara positif atau secara negatif, sama ada mereka yang menyokong atau mereka yang menentang GST, maka segala penentuannya akan bermula pada 1 April nanti ” katanya. Beliau berkata, bagi mereka yang mengatakan GST adalah sistem percukaian yang sesuai untuk negara, pasti mengharapkan bila ia dilaksana, hasilnya adalah seperti yang diharapkan. “Apa yang dinyatakan, diperkatakan mereka, insya-Allah akan menjadi realiti dan terbukti apa yang mereka kata itu adalah tepat.

PM 1

“Bagi mereka yang mengatakan GST satu sistem pencukaian yang membebankan rakyat, yang meresahkan dan menyusahkan rakyat, tentu sekali bagi pihak kerajaan dan Kastam, mengharapkan bahawa apa yang dimomokkan mereka, didakwa mereka, ditohmah mereka, insya-Allah, realitinya adalah sebaliknya. “Ini yang saya harap akan muncul sebagai senario pada 1 April dan hari hari kemudiannya,” katanya.

Najib turut mengajak semua pihak memahami objektif di sebalik pelaksanaan GST yang antara lain bertujuan mengukuhkan punca kewangan negara dan memperluaskan hasil negara. “Supaya dengan hasil bertambah ini, kita boleh melaksanakan projek pembangunan untuk rakyat dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik lagi kepada rakyat.

PM 3

“Inilah tujuan sebenar kita laksanakan GST, bukan untuk bebankan rakyat. Kita telah laksanakan GST dengan kaedah meminimumkan bebanan rakyat. Tak pernah mana-mana negara bagi banyak “zero rated” dan pengecualian GST seperti mana yang kita berikan. Senarai begitu panjang dan kita tambah lagi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *