Mesej Presiden PERKASA Malaysia

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua ahli PERKASA dan pegawai kanan kastam di semua gred jawatan yang saya hormati dan kasihi sekalian.

Mengimbau kembali sejarah kerjasama yang terjalin antara NGO dan Jabatan sebenarnya PERKASA mampu mengorak langkah lebih jauh dalam usaha menambah baik perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat selain memperjuangkan isu-isu kebajikan dan pembangunan kerjaya pegawai. Sebagai NGO nombor 1 dalam Jabatan, PERKASA boleh turut sama memberikan idea yang bernas dalam mencadangkan inovasi dan pembaharuan melalui pelbagai saluran atau forum yang diwujudkan dalam Jabatan.

Sesungguhnya sebahagian besar perkhidmatan kastam telah pun melalui proses digital yang meluas dan sempurna, setaraf dengan pentadbiran Kastam di negara-negara maju. Umpamanya kita telah mengguna pakai teknologi digital dalam pengurusan percukaian GST iaitu MyGST sebelum ini dan telah menghasilkan impak yang amat baik sebagaimana dirancang. Umum juga telah mengetahui bahawa Kastam akan menamatkan penggunaan Sistem Maklumat Kastam atau SMK yang berusia lebih 30 tahun dan akan digantikan secara berperingkat dengan sistem digital u-Customs.

Apabila sistem u-Customs dilaksanakan sepenuhnya nanti, akan berlakulah satu revolusi besar perkhidmatan Kastam Malaysia kerana perkhidmatan kastam boleh dilakukan di hujung jari, di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja. Melihat impak pelaksanaan u-Customs dari segi pungutan hasil, kita bukan sahaja akan berkata Negara menerima pungutan cukai/duti “tujuh hari seminggu” bahkan u-Customs membolehkan Negara menerima hasil “pada setiap saat yang berdetik” kerana pembayaran cukai akan berlaku secara maya. Ini akan meletakkan Kastam pada landasan yang betul untuk bergerak memenuhi keperluan masa kini dan masa hadapan khususnya tuntutan kerajaan dan rakyat.

Menyentuh mengenai prestasi pungutan hasil JKDM sehingga bulan Mac 2020, kita masih berada di landasan yang betul dan mampu mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan walaupun menghadapi pelbagai kekangan dan cabaran khususnya pandemik Covid-19 yang menular seluruh dunia. Adalah diharapkan semua pegawai kanan dan warga Kastam terus komited dalam melipatgandakan usaha membantu Kerajaan meningkatkan hasil negara, memberi fasilitasi serta menguatkuasakan undang-undang. Insya Allah berkat usaha dan semangat kerjasama yang ditunjukkan tersebut, Kastam akan terus disegani, dihormati dan diiktiraf di peringkat Negara dan Dunia. Bersama-samalah kita berdoa dalam merealisasikan hasrat tersebut.

Akhir kata, salam perjuangan kepada semua ahli dan kami memohon ampun dan maaf seandainya perjuangan PERKASA tidak dapat memuaskan hati semua pihak. PERKASA tetap berusaha sedaya upaya menyantuni semua ahli berdaftar tanpa mengira gred jawatan dan akan mempastikan perjuangannya kekal relevan dengan kehendak dan aspirasi JKDM dan Negara.

Sekian, terima kasih.

BERSATU MAJU SENTIASA SETIA

Salam Hormat,

MOHD ASRI BIN SEMAN, SMP

Presiden

PERKASA Malaysia Sesi 2018/2020

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *